KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) berdiam diri dalam isu pembatalan lantikan Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Katanya, situasi itu berbeza apabila AGC segera membuat kenyataan dalam isu proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan.
Malah, dakwanya, AGC juga cepat membuat kenyataan dalam isu penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan yang didakwa tidak sah.
“Dalam isu proklamasi yang ditandatangani MB N9, AGC cepat buat kenyataan ia tidak sah.
“Dalam isu penggantungan SUK dan PKN N9, cepat juga AGC keluarkan kenyataan ia tidak sah.
“Tapi dalam isu pembatalan pelantikan Exco N9 yang lebih dahulu, kenapa AGC berdiam diri? Sah atau tidak AGC yang rajin ini perlu keluarkan juga kenyataan.
“Ini kerana ia bakal jadi panduan di negeri-negeri lain pula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, AGC berkata, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain itu, AGC turut memaklumkan, MMKN tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan tersebut masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Pada 20 September lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan semua Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta, dan keputusan itu diwartakan semalam. – MalaysiaGazette
















