KUALA LUMPUR – Seramai 40 pemandu dikenakan notis saman oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati menggunakan lorong khas bas dan teksi di sekitar Jalan Ampang berhampiran Wisma Central di sini.
Tindakan itu dilakukan menerusi Tindakan Khas Saman Kendiri yang dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, kelmarin.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, kesemua pemandu terbabit didapati melanggar peraturan dengan menggunakan lorong yang dikhaskan untuk bas dan teksi.
“Tindakan dilaksanakan di bawah peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 yang melarang kenderaan selain bas dan teksi menggunakan lorong berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang berkuat kuasa bagi mengelakkan dikenakan tindakan saman.
Pematuhan terhadap larangan menggunakan lorong bas juga penting bagi memastikan kelancaran pergerakan pengangkutan awam di ibu negara.
DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi berkaitan.
Sebarang aduan atau maklum balas boleh disalurkan kepada DBKL menerusi saluran aduan yang disediakan. – MalaysiaGazette
















