Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa kelmarin.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sehari selepas RoS mengeluarkan notis bagi memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan, tanpa PN sempat berbuat demikian.

Katanya, susunan peristiwa itu menimbulkan satu persoalan asas berkenaan tujuan sebenar notis penjelasan diberikan jika keputusan menggantung sudah pun dilaksanakan.

Ujarnya, beliau tidak mempertikaikan hak dan tanggungjawab RoS untuk menyiasat aduan serta bertindak mengikut peruntukan undang-undang.

“Namun apabila ruang penjelasan masih dibuka kepada PN, sebarang keputusan menggantung seluruh kegiatannya sepatutnya berasaskan alasan yang jelas, teliti dan boleh dipertahankan.

“Keadilan prosedur bukan sekadar soal formaliti tetapi ia adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi.

“Penjelasan yang diterima kemudian tidak semestinya dapat memulihkan kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh penggantungan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Lebih membimbangkan, tambah beliau, keputusan itu berkuat kuasa tepat pada hari Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

Sedangkan, katanya, menjelang pilihan raya, parti-parti memerlukan ruang dan masa yang cukup untuk menyusun calon, menyelaraskan jentera kempen dan menyampaikan maklumat kepada pengundi dalam tempoh yang sangat terhad.

“Penggantungan kegiatan PN pada saat yang kritikal ini bukan sekadar isu pentadbiran, ia berpotensi menjejaskan hak rakyat untuk mendapat pilihan yang jelas dan persaingan yang adil dalam proses demokrasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru RoS supaya menjelaskan dengan terperinci asas dan justifikasi penggantungan tersebut kepada PN.

Ujarnya, PN juga perlu diberi ruang yang sewajarnya untuk mengemukakan jawapan yang lengkap dan meneliti jawapan tersebut dengan segera serta tanpa prejudis.

Selain itu, tambahnya, RoS juga wajar mempertimbangkan semula keperluan mengekalkan penggantungan dalam tempoh proses penjelasan masih berlangsung.

“Pelaksanaan kuasa pentadbiran yang teliti, saksama dan bebas daripada pengaruh politik adalah syarat mutlak untuk memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru parti-parti komponen PN bersikap tenang dan strategik dalam menghadapi perkembangan tersebut.

Katanya, persiapan pilihan raya mesti diteruskan dengan mengambil kira pelbagai senario yang mungkin berlaku, termasuk soal penggunaan lambang dan penyelarasan kempen.

Jelasnya, sebarang keputusan mengenainya hendaklah dibuat secara bersama, telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pengundi tidak keliru dan hak mereka terpelihara.

Tambah beliau, Pas akan menghadapi keadaan itu dengan tenang, matang dan menggunakan sepenuhnya saluran undang-undang yang tersedia.

“Kami percaya bahawa kebenaran dan keadilan akan tertegak melalui proses yang betul.

“Yang lebih penting, kami yakin bahawa rakyat Malaysia cukup bijak dan matang untuk menilai sendiri pendirian, rekod dan khidmat yang ditawarkan oleh parti-parti dalam PN walau apa pun perkembangan yang berlaku selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here