Ahmad Zahid dan Ab Rauf pada sidang media selepas merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ibu pejabat parti itu akan mengadakan dua pertemuan berasingan minggu depan bagi membincangkan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri enggan mendedahkan gabungan atau parti yang akan ditemui, dengan menyifatkan perkara berkenaan masih di peringkat rundingan.

Ditanya sama ada rundingan berkenaan membabitkan Perikatan Nasional (PN) atau Pas, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu hanya menegaskan, dua pertemuan itu akan diadakan pada tarikh dan waktu berbeza serta membabitkan dua kumpulan berlainan.

“Minggu depan ibu pejabat telah mengaturkan dua perjumpaan yang berasingan di tarikh dan waktu yang berbeza-beza, dua kumpulan yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ditanya mengenai gabungan yang paling hampir untuk menjalinkan kerjasama dengan BN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu masih perlu diperhalusi dengan mengambil kira manfaat dan mudarat setiap pilihan.

“Itu akan diperhalusi dan kita mesti melihat dari segi mudarat dan manfaat, mana yang lebih dan tentunya kita sebagai sebuah gabungan politik atas nama Barisan Nasional mahu melihat dari jangka sederhana dan panjang daripada segi manfaat kepada negara dan khususnya kepada gabungan parti kita yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada BN mungkin memilih untuk berunding dengan Pas susulan isu melibatkan pendaftaran PN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Ahmad Zahid menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi PN.

“Saya serahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung dan Pengerusi PN untuk menentukan tetapi kami lebih selesa jika ada keselesaan dalam sesebuah parti daripada gabungan yang telah terburai itu,” katanya.

Ab Rauf sebelum ini berkata, rundingan kerjasama dengan parti lain akan bermula selepas mendapat lampu hijau pimpinan tertinggi UMNO dan BN, selain menegaskan 21 kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN Melaka 2021 menjadi asas rundingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here