TEMERLOH – Kira-kira 10,000 tan metrik stok ikan disediakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Oktober ini hingga Februari tahun depan.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, persediaan berkenaan penting bagi memastikan bekalan ikan negara kekal mencukupi sekiranya berlaku pengurangan pendaratan hasil laut sepanjang musim tengkujuh.

Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 300 tan metrik merupakan stok LKIM, manakala baki 9,700 tan metrik disediakan menerusi kerjasama syarikat dalam industri perikanan.

“Kita memang sudah bersedia. Jika berlaku kekurangan ikan, stok akan dikeluarkan bagi memastikan keperluan pengguna dapat dipenuhi.

“Setakat ini, isu bekalan ikan tidak timbul dan stok memang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bazaar Himpunan Pemasar Ikan dan Hasil Akuakultur (BAHTERA) di Dataran Temerloh, di sini, hari ini.

Abdul Salim berkata, LKIM mengambil langkah awal dengan meningkatkan simpanan stok ketika pendaratan ikan berada pada tahap tinggi untuk digunakan sekiranya bekalan berkurangan sepanjang musim tengkujuh.

Menurutnya, kadar sara diri (SSR) ikan negara yang melebihi 90 peratus turut menunjukkan kedudukan bekalan ketika ini berada pada tahap baik.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan nelayan supaya tidak mengambil risiko turun ke laut ketika keadaan cuaca buruk demi memastikan keselamatan diri.

“Rezeki penting tetapi keselamatan lebih utama. Jika turun ke laut, pastikan memakai jaket keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Mengenai BAHTERA, Abdul Salim berkata, Temerloh dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan usahawan dalam rantaian pemasaran ikan dan hasil akuakultur.

Katanya, program selama dua hari itu merangkumi segmen ikan segar, produk diproses dan kulinari serta menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung.

“Program ini memberi peluang kepada pengguna mendapatkan produk berkualiti pada harga berpatutan, selain membantu usahawan dalam rantaian pemasaran ikan meluaskan pasaran mereka.

“Selepas Temerloh, BAHTERA akan diperluaskan ke negeri lain termasuk Kelantan, Terengganu, negeri-negeri di utara serta Sabah dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here