KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan rasional keputusan memansuhkan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS), kata bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.
Menurutnya, keputusan itu bukan sekadar soal penyelarasan pentadbiran kerana turut menyentuh pemilikan, penyertaan dan kedudukan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan.
“Kerajaan perlu menjelaskan mengapa syarat ini dimansuhkan, siapa yang mencadangkannya, apakah penilaian impak yang telah dibuat dan apakah mekanisme yang akan menggantikannya untuk menjamin penyertaan Bumiputera?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, alasan bahawa keputusan itu berada di bawah bidang kuasa kementerian tertentu atau bersandarkan keputusan terdahulu tidak memadai kerana kesannya melangkaui satu kementerian.
Lebih penting, katanya, kerajaan perlu memastikan kelonggaran dasar tidak menyebabkan instrumen yang bertujuan memperkukuh penyertaan Bumiputera hilang satu demi satu tanpa pengganti yang lebih berkesan.
“Keterbukaan tidak boleh menjadi alasan untuk menghakis penyertaan Bumiputera. Liberalisasi juga tidak boleh bermaksud Bumiputera akhirnya hanya menjadi pengguna dan pekerja, sedangkan pemilikan sektor strategik berada semakin jauh daripada mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, Jais menegaskan, beliau tidak menolak persaingan atau pelaburan dan mengakui kuota bukan penyelesaian yang boleh digunakan selama-lamanya.
“Kalau kerajaan mahu menghapuskan sesuatu instrumen yang selama ini bertujuan memastikan penyertaan Bumiputera, kerajaan mesti jelaskan apakah instrumen yang lebih baik untuk menggantikannya,” katanya lagi.
Menurutnya, penyertaan Bumiputera dalam industri pendidikan tidak sepatutnya terhenti sebagai pelajar, sebaliknya perlu meliputi pemilikan institusi, pengasas syarikat pendidikan, pelaburan dan pembangunan teknologi pendidikan.
Jais yang pernah menerajui GPMS berkata, perjuangan memperluaskan akses pendidikan Melayu dan Bumiputera sudah berlangsung sejak generasi terdahulu dan menjadi antara asas kepada pembinaan mobiliti sosial serta kekuatan ekonomi masyarakat.
“Jangan kerana mahu kelihatan progresif dan terbuka, kita mengambil keputusan yang akhirnya menyebabkan ruang pemilikan Bumiputera semakin mengecil,” tegasnya.
Beliau mahu kerajaan membentangkan rasional serta data yang menjadi asas keputusan itu, termasuk kesannya terhadap pemilikan Bumiputera dan langkah yang akan diambil bagi memastikan penyertaan mereka dalam industri pendidikan tidak terhakis.
“Jangan mansuhkan dahulu, kemudian baru memikirkan bagaimana hendak memperkasakan Bumiputera.
“Dasar yang baik mesti mempunyai hala tuju, data, mekanisme pengganti dan ukuran keberhasilan yang jelas,” katanya.
Jais berkata, keterbukaan dan daya saing tidak seharusnya bercanggah dengan usaha memperluaskan peluang Bumiputera untuk menjadi pemilik dan pemain utama dalam sektor pendidikan.
“Agenda memperkasakan Bumiputera bukan sesuatu yang boleh dipadam sedikit demi sedikit melalui perubahan pentadbiran. Ia mesti diperkukuhkan dengan dasar yang lebih berkesan, telus dan mempunyai sasaran yang boleh diukur,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















