Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Usul berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibahaskan tanpa keputusan.

Ia selepas Dewan Rakyat hari ini bersetuju supaya usul itu yang dibahaskan oleh seramai 10 Ahli Parlimen ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat petang ini tegang dan kecoh ketika usul itu dibahaskan antaranya oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).

Antara yang dibangkitkan sepanjang perbahasan usul itu adalah berhubung rumusan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ketika menggulung perbahasan usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu melibatkan pertuduhan kepada mana-mana individu terletak kepada Jabataan Peguam Negara, bukannya dibuat kerajaan.

“Dalam Perlembagaan semua kita tahu, Peguam Negara ini individu bebas, kalau ada laporan polis, ada siasatan baru Peguam Negara buat keputusan.

“Kalau setakat hari ini tidak ada laporan polis, takkanlah kita di dalam Dewan Rakyat ini boleh arahkan polis siasat, boleh arahkan Peguam Negara dakwa,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, usul itu juga dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menunjukkan kesediaan Kerajaan Madani mendedahkan laporan berkaitan kes terbabit kepada umum, iaitu berbeza dengan pendirian kerajaan terdahulu yang merahsiakannya.

“Kerajaan Madani mahukan laporan ini (Laporan RCI) tidak dirahsiakan. Kerajaan Madani nak rakyat tahu, terutama sekali rakyat Johor, nak cari ikan pun kena halau dengan agensi maritim Singapura (kerana terlepas Batu Puteh),” katanya.

Menerusi laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 5 Disember lepas, syor dikemukakan bahawa siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan 418 kanun sama.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast