Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Purata nilai dagangan harian (ADTV) Bursa Malaysia naik 59 peratus kepada RM3.27 bilion pada separuh pertama tahun ini daripada RM2.06 bilion dalam tempoh sama pada 2023, menunjukkan dagangan di pasaran ekuiti telah berkembang dengan pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah melepasi paras psikologi 1,600 mata pada awal Mei — paras tertinggi dalam tempoh dua tahun dan terus bergerak secara dinamik antara 1,580 dan 1,620.

“Dari segi ekuiti, Bursa Malaysia mencatat pencapaian bersejarah, melepasi permodalan pasaran sebanyak RM2 trilion pada 7 Mei lepas,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pelaburan Tahunan ke-14 Phillip Capital hari ini.

Muhamad Umar berkata jumlah dagangan harian untuk semua produk derivatif yang digabungkan mencapai paras tertinggi dalam sejarah, melebihi 178,000 kontrak pada 29 Mei 2024 manakala kepentingan terbuka, pengukur penting untuk keupayaan pasaran dan momentum trend harga, mencecah rekod lebih 366,000 kontrak pada 26 Mac 2024.

Selain itu, katanya kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) mencatatkan jumlah dagangan harian yang bersejarah melebihi 141,000 kontrak pada 3 April 2024, mengatasi rekod sebelumnya iaitu lebih 127,000 kontrak pada 17 Mac 2020.

“Kepentingan terbuka untuk FCPO turut mencecah paras tertinggi baharu iaitu lebih 299,000 kontrak pada 14 Mac 2024, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu lebih 288,000 kontrak pada 10 Sept 2014,” katanya.

Katanya jumlah dagangan FBM KLCI Futures (FKLI) terus menyaksikan trend yang positif, mencapai jumlah dagangan harian tertinggi lebih 95,000 kontrak pada 26 April 2024, mengatasi rekod sebelumnya iaitu lebih 73,000 kontrak pada 27 Okt 2023.

“Aliran meningkat pada harga FKLI mencerminkan FBM KLCI yang tinggi manakala lonjakan dalam jumlah dagangan menggariskan keyakinan dan peluang yang meningkat dalam pasaran modal Malaysia,” katanya.

Muhamad Umar berkata pada minggu ini, terdapat tiga penyenaraian berturut-turut di Pasaran ACE sahaja dalam sektor pembinaan, teknologi dan pengguna serta syarikat telah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan.

“Kesemua syarikat tersebut yang mula disenaraikan mencatatkan peratusan keuntungan tiga angka daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) mereka, antara 129 peratus dan 204 peratus untuk harga pembukaan mereka,” katanya.

Beliau berkata Bursa Malaysia mengalu-alukan 24 IPO baharu dalam pasaran setakat ini pada tahun ini dan pada akhir Julai, jumlah ini akan meningkat kepada 28 IPO.

Katanya 24 IPO yang terdiri daripada empat Pasaran Utama; 19 Pasaran ACE dan satu pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), mencatatkan gabungan permodalan pasaran sebanyak RM7.6 bilion.

— BERNAMA