PRU16
Johari Abdul Ghani

TAIPING – Ahli akar umbi UMNO diingatkan agar tidak bertelagah memilih calon untuk bertanding pada setiap pilihan raya terutamanya pilihan raya umum, kata Naib Presiden parti itu Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ahli sepatutnya mengenal pasti calon terbaik termasuk pemimpin muda yang mempunyai jiwa untuk turun ke lapangan dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan masyarakat Melayu bagi memastikan kemenangan parti.

“Jangan bergaduh, jika tidak akhirnya ia (pemilihan calon) akan ke peringkat pusat untuk buat keputusan dan kemungkinan besar (pusat) akan tersilap pilih. Kalau kita di bawah ini sudah bergasak, macam mana masyarakat hendak menyokong kita, jadi itu yang saya tekankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang Kali Ke-36 Tahun 2024 di sini hari ini.

Johari berkata cadangan nama calon juga perlu dikemukakan lebih awal bagi memastikan calon lebih dikenali masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata UMNO mengalu-alukan penyertaan semula bekas ahli, namun mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan termasuk menjadi ahli biasa walaupun sebelum ini memegang jawatan dalam parti.

“Nak masuk kena berikrar ‘saya dengan ini berikrar bahawa saya tidak akan mengulangi perbuatan saya lompat sana, lompat sini’,” katanya ketika ditanya berhubung status Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO menerima banyak permohonon bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu dan perkara berkenaan akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka.

Syed Abu Hussin antara enam Ahli Parlimen yang dibuang daripada Bersatu kerana memberi sokongan kepada Perdana Menteri baru-baru ini. – BERNAMA