Dr. Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius cadangan memperkenalkan silibus pencegahan penagihan dadah kepada pelajar di sekolah.

Timbalan Setiausaha PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, cadangan yang diketengahkan oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat  baru-baru ini satu idea yang baik.

Cadangan pengenalan subjek pembelajaran mengenai pencegahan dadah di sekolah satu langkah yang boleh membantu kerajaan menangani isu berkenaan secara lebih luas dan komprehensif.

“Jika cadangan pengenalan silibus anti dadah ini diperkenalkan dengan membawa pindaan di dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, saya sangat pasti dan optimis anak-anak kita di bangku sekolah lagi akan mendapat ilmu pengetahuan dan kesedaran tentang betapa bahaya, implikasi baik serta buruk pengambilan dadah kepada masa depan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau yang juga merupakan doktor perubatan meminta  kesemua 222 ahli Parlimen serta ibu bapa menyokong penuh cadangan itu agar dipertimbangkan.

Sebelum ini Amirudin semasa perbahasan cadangan pindaan dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, kelekaan pendidikan tentang dadah menyumbang besar kepada factor penglibatan orang dalam pengambilan serta penagihan dadah di negara ini.

Amirudin juga memaklumkan jika mengambil statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan, seramai 83,000 daripada 145,000 penagih dadah yang direkodkan pada tahun 2023 adalah mereka yang Penilaian Menengah Rendah sebagai kelayakan tertinggi mereka. – MalaysiaGazette