Calon Parti Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menunaikan tanggung jawabnya sebagai pengundi di DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di SK Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Selepas 14 hari berkempen, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail meletakkan keyakinan yang tinggi untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Abang Abidin berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kadar keluar mengundi dan penerimaan positif daripada pengundi di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah ini kita lihat respon pengundi ramai pagi ini.. ini merupakan lokasi pertama saya lawat pusat mengundi memandangkan ia juga lokasi mengundi saya.

“Saya sempat tanya Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengenai respon pengundi dan dimaklumkan pengundi berusia agak ramai setakat ini manakala pergerakan pengundi muda dilihat agak slow (perlahan) khususnya mereka yang berusia 20 an.

“Selain itu, ini juga merupakan pusat mengundi yang kita (PN) menang majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan kita berdoa moga Allah buka pintu hati pengundi untuk kekalkan kejayaan sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini, hari ini.

Terdahulu, Abidin tiba pada jam 8.15 pagi sempat bertemu dan mendapatkan restu ibunya, Che Refiah Zakaria, 79, di pekarangan SK Sungai Duri.

Mengulas lanjut beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas berkata, ramai ahli keluarganya mengundi di SK Sungai Duri.

“Mak ada gout..dia ada tunggu (di pekarangan sekolah) tu yang datang pakai wheelchair (kerusi roda) dengan kakak saya (Zalina Ismail).

“Selain itu, isteri serta anak lelaki sulung kami yang berusia 18 tahun akan turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat mengundi sama,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya  Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Restu ibu iringi Abang Abidin sebelum masuk mengundi