Pengunjung boleh menyertai Program Pertukaran Topi Kaledar di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan Foto: FB JPJ Pahang

KUANTAN- Memasuki hari kedua Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur, kemeriahannya dijangka berganda dengan pengunjung mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membawa keluarga bagi merebut pelbagai tawaran menarik yang disediakan kali ini.

Dimulakan dengan program Subuh Warrior di Masjid Sultan Ahmad I, aktiviti kecergasan sukan rakyat pelbagai peringkat usia umur turut diadakan meliputi acara sepak raga ratus, terompah gergasi, lari dalam guni di Dataran Sayangi Kuantan.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dan BUDI MADANI menerusi aktiviti pocket talk di Pentas Utama yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan.

Tumpuan hari ini, pastinya terarah kepada acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pentas Utama tapak program, pada 2.30 petang nanti.

Program hari ini juga akan diserikan dengan persembahan Aneka Budaya Pantai Timur oleh Permata Seni Tari yang dibawakan khas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Pentas Utama, selain Aktiviti Demonstrasi Masakan Kesihatan di Pentas Reruai.

Pada sebelah malam, bagi peminat Aina Abdul, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Siti Nordiana dan Wany Hasrita, pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk melihat secara dekat artis kesayangan mereka dan berhibur dengan persembahan Konsert Pata Timo yang akan berlangsung di Pentas Utama pada 8.30 malam.

Pelbagai perkhidmatan awam ditawarkan secara langsung kepada rakyat akan diteruskan hari ini, antaranya Jualan Rahmah, kaunter diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal dan lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya.

Program MADANI Rakyat Zon Timur merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), program kali ini turut mendapat kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Pahang.

— BERNAMA