Saturday, October 5, 2024
Home Politik Isu 6 MP Bersatu: Jangan sesekali persenda institusi Parlimen, kata Annuar

Isu 6 MP Bersatu: Jangan sesekali persenda institusi Parlimen, kata Annuar

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Institusi Parlimen tidak boleh sesekali dipersendakan manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat pula mempunyai tugas serta tanggungjawab menjaga kemuliaan Parlimen.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebarang tindakan yang bertentangan dengan semangat yang mahu dizahirkan Parlimen adalah satu penghinaan dan mempersendakan Parlimen.

Kata bekas bekas Setiausaha Agung UMNO itu, atas dasar tersebut dan setelah disahkan serta dimaklumkan oleh parti tentang tergugurnya keahlian seseorang, Speaker wajib dan tanpa sebarang alasan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya kecil (PRK) dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.

Jelas beliau, kes melibatkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melompat parti bukan kes samar tetapi amat jelas (straight forward).

Ujarnya, Parlimen sanggup meminda Perlembagaan negara demi membolehkan undang-undang lompat parti digubal dan dikuatkuasakan bagi membenteras tindakan `crossing the floor’ (melompat parti).

“Ini bererti daripada segi semangat dan tujuannya jelas, iaitu kita menolak dan membenci perbuatan `sengaja lari’ daripada parti sendiri sedangkan parti yang menjadikan seseorang itu calon dan wakil rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Tambah beliau, daripada segi undang-undang pula telah digubal yang mana lompat parti atau sengaja ingkar keputusan parti adalah bersifat `cross the floor’ yang membawa kesan tergugur keahlian secara automatik dan wajib dikosongkan.

“Apatah lagi perbuatan secara terang-terangan menyanggah dasar parti, menyokong pihak lawan dan apa lagi berkempen untuk lawan, tergugurlah keahlian mengikut Perlembagaan parti dan kerusi yang dimenangi mesti dikosongkan.

“Tiada keraguan mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu yang diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.
Ia berikutan tindakan enam wakil rakyat Bersatu berkenaan yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette