Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengucapkan terima kasih kepada para pengundi Sungai Bakap yang telah menyampaikan mesej jelas kepada Kerajaan Perpaduan melalui undi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Presiden Parti Gerakan mendakwa, keputusan pilihan raya membuktikan rakyat sudah kecewa dengan kepimpinan kerajaan yang telah mungkir janji.

Katanya, kemenangan itu bukanlah mudah dan ucapan terima kasih juga patut diberikan kepada jentera Perikatan Nasional (PN) yang bekerja keras siang dan malam.

“Saya berharap Perdana Menteri, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak lagi mungkir janji, memberikan harapan palsu kepada pelajar SPM 10A dan kemudian mengabaikan isu-isu rakyat serta terus menaikkan harga RON95.

“Mendengar suara rakyat adalah janji Perdana Menteri sendiri, jangan berpaling tadah lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap malam ini.

Dalam pada itu, Dominic bersyukur kerana para pengundi tidak terpedaya dengan taktik kotor dan janji kosong PN akan berusaha mendengar pandangan dan cadangan daripada mereka yang tidak mengundi parti itu.

Dominic menegaskan, sama ada pengundi mengundi PN ataupun Pakatan Harapan (PH), keputusan yang telah dikeluarkan harus dihormati kerana itulah demokrasi.

“Usahlah kerana keputusan pengundi Sungai Bakap, Kerajaan Madani dengan sengaja menyusahkan pengundi,” ujarnya. – MalaysiaGazette