Mohd Na'im memberikan sumbangan kepada bapa adik Azriel Mifzal Mohd Hafis di kediamannya di Presint 16, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak RM500 juta telah disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada kira-kira 270,000 golongan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia meliputi penerima dari kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Matlamat MAIWP ini, kita hendak pastikan supaya ada di kalangan asnaf-asnaf ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Jadi, ada program yang MAIWP uruskan menjurus kepada, kalau mereka mahu jadi usahawan kita bagi latihan dan dari sudit pendidikan pin macam itu…falsafahnya hendak keluarkan mereka daripada kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi sebuah keluarga asnaf sempena Program Ziarah Asnaf MAIWP, Bersama Menteri Agama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Na’im berkata, dalam keadaan-keadaan tertentu ada juga individu yang pada asalnya kaya tetapi akhirnya jatuh bangkrap dan mereka juga harus dibantu.

Katanya, apa yang penting pasukan sukarelawan MAIWP melalui Skuad Jejak Asnaf akan sentiasa turun padang untuk mencari golongan sasaran.

Sehubungan itu, Mohd Na’im berharap agar orang awam dapat menyalurkan maklumat kepada MAIWP sekiranya mengetahui adanya golongan asnaf yang perlu dibantu dengan menyalurkan maklumat itu kepada pihak MAIWP.

“Kita harap sangat agar masyarakat dapat bantu dengan merujuk mereka itu kepada MAIWP,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd Na’im menziarahi adik Azriel Mifzal Mohd Hafis, 6, yang mengalami masalah genetik sejak dilahirkan.

MAIWP menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak berkenaan berupa susu dan beberapa kelengkapan lain yang jumlah perbelanjaannya lebih RM6,000 setahun.

Dua lagi penerima iaitu Mohd Asarani Mohd Rasikin dan Jamaliah Selamat yang masing-masing menerima pelbagai jenis bantuan mengikut keperluan.   – MalaysiaGazette