wee ka siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong rasa sedih selepas mendakwa menerima banyak panggilan daripada ibu bapa yang tidak berdaya kerana anak-anak mereka gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, apabila keputusan rayuan ke matrikulasi diumumkan semalam, ramai yang memperoleh 10A masih gagal memasuki program tersebut.

Jelasnya, ia berlaku meskipun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman rasmi tentang keputusan Kabinet yang mana pelajar dengan keputusan 10A tanpa tanpa mengira kaum layak memasuki matrikulasi.

“Namun pelajar cemerlang tetap gagal memasuki Kolej Matrikulasi. Mereka hampa buat kali kedua,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya.

Ka Siong turut berasa sedih apabila para pelajar berkenaan sangat kecewa apabila gagal dalam percubaan rayuan walaupun mendapat 10A atau 9A.

“Ramai ibu bapa kecewa kerana mereka dan anak-anak mereka mempunyai harapan yang tinggi untuk diterima ke dalam program tersebut tetapi kini impian mereka musnah.

“Bolehkah Perdana Menteri membantu mereka?” soalnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri memberi jaminan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian ke Matrikulasi bermula tahun ini.

Anwar sebelum ini berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bagaimanapun tidak akan menganggu kuota pelajar bumiputera sedia ada. – MalaysiaGazette