NIBONG TEBAL – “Sebenarnya, agak ‘nervous’ (berdebar) untuk mengundi kali pertama ini tapi demi memilih bakal pemimpin untuk menentukan masa depan, saya tekadkan diri”.

Demikian luah Hana Humaira Yusrizal, 19, sebaik selesai mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di sini, hari ini.

Menurut pelajar Tingkatan Enam itu, dia melakukan persiapan awal termasuk memeriksa saluran pengundian agar tidak perlu bersesak di pusat pengundian.

Jelasnya, selain melakukan persiapan itu, dia turut menjemput bekas rakan sekolahnya untuk sama menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Kalau mai (datang) sendiri segan sikit..tu ajak kawan sama.. selain itu kami juga gunakan peluang ini untuk reunion (pertemuan semula) memandangkan masing-masing sudah membawa haluan sendiri selepas tamat sekolah,” katanya.

Bagi, Nur Athirah Mohd Zahid,19, sebagai pengundi muda, dia berharap agar pemimpin yang dipilih nanti dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Tak dapat nak gambarkan perasaan gembira pertama tangan diinai dengan dakwat biru namun lebih teruja apabila saya antara yang berpeluang untuk memilih wakil rakyat di sini,” katanya.

Nur Athirah turut menitipkan pesanan kepada pengundi muda yang belum menunaikan tanggungjawab mereka untuk segera berbuat demikian.

Muhammad Zairi Hakimi Zairizam, 19, Antara pengundi termuda untuk membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di SK Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

Sementara itu, Muhammad Zairi Hakimi Zairizam,19, turut meluahkan keterujaannya apabila berpeluang mengundi pada PRK kali ini.

“Sepatutnya tahun lepas lagi saya dah mengundi (ketika Pilihan Raya Negeri atau PRN Ogos lalu).. tapi ketika itu belum cukup bulan.

“Awal tadi agak gementar tapi bila sampai di pusat mengundi perasaan itu bertukar jadi lebih bersemangat untuk memilih calon yang mewakili kami di sini,”katanya yang datang mengundi bersama ibunya, Norlida Hashim, 43.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya  Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette