Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatkan usaha memburu dan menjejaki seorang lelaki tempatan disyaki terlibat kes liwat seorang pelajar warga asing di daerah Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek yang dikenalpasti sebagai warga tempatan berusia sekitar 20-an hingga 30-an.

Katanya, polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana kesalahan meliwat iaitu melakukan persetubuhan di luar tabii.

“Polis  sedang giat mengesan suspek ketika ini dan semasa serbuan di rumahnya di sebuah kondominium mendapati suspek tidak berada di rumahnya serta kita percaya dia sudah melarikan diri selepas insiden tersebut (liwat),” katanya kepada MalaysiaGazette tengah hari tadi.

Tambah beliau, siasatan lanjut juga polis juga mendapati suspek duduk seorang diri di rumah tersebut.

“Kita yakin dapat menjejaki dan menangkap suspek yang dikehendaki itu untuk tindakan lanjut polis,” ujarnya lagi.

Malah katanya, polis juga telah selesai merekodkan keterangan daripada mangsa seorang pelajar warga asing yang sedang menuntut di daerah Petaling Jaya.

Semalam media melaporkan dalam kejadian pada Khamis lalu, seorang pemuda asing tidak menyangka ajakan berbual di rumah kenalan yang baharu dikenalinya bertukar menjadi detik hitam apabila dia diliwat di sebuah kondominium dekat sini.

Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian terbabit daripada seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun pada jam 9.57 malam Jumaat.

Menurutnya, mangsa menyatakan dia telah diliwat oleh seorang lelaki tempatan yang baharu dikenali pada Mac lalu di gimnasium kondominium tempat tinggal suspek.

“Ketika berjumpa di koridor kondominium, suspek telah mengajak mangsa ke rumahnya di sebuah kondominium di Petaling Jaya untuk berbual-bual pada Khamis, sekitar jam 5 petang.

“Semasa sampai di rumah, suspek telah bertindak membuka pakaian mangsa dan mula menyentuh tubuh badan serta kemaluan mangsa.

“Mangsa dipercayai tidak menjerit kerana tidak mahu jiran sekitar mendengar atau nampak kejadian yang boleh memalukan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shahrulnizam berkata, mangsa telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesan koyakan pada dubur.

Beliau berkata, selepas mendapat rawatan, mangsa telah dibenarkan pulang dan kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam pergaulan bagi mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini,” ujarnya.