Pengalaman ngeri dikongsi seorang wanita mengenai nasib malang menimpa bayinya berusia satu bulan yang melecur tangan kanan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka bulan lalu akibat batuk berkahak sebelum kisah itu tular melalui aplikasi Telegram.

MELAKA – Hantar bayi berusia satu bulan untuk mendapatkan rawatan batuk berkahak, namun tangan pula yang bengkak dan melecur selepas 12 jam menerima rawatan.

Itu pengalaman ngeri dikongsi seorang wanita mengenai nasib malang menimpa bayinya berusia satu bulan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka bulan lalu sebelum kisah itu tular melalui aplikasi Telegram.

Berdasarkan maklumat daripada tangkap layar e-mel yang ditulis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu berusia 35 tahun itu mendakwa, dia ke jabatan kecemasan hospital kira-kira 4 petang 9 Jun lalu.

Ia bagi mendapatkan rawatan selepas bayinya itu mengalami batuk berkahak, nafas laju dan dada berlekuk.

“Tangan anak kemudian di pasang jarum untuk doktor mengambil darah sehinggalah anak saya dimasukkan ke wad kira-kira 7.30 malam sebelum ditukar ke wad lain kerana memerlukan oksigen yang sesuai.

“Sekitar 10 malam, jururawat mula memasukkan air drip kerana perlu berpuasa dalam keadaan anak dibedung,” tulisnya lagi.


Pengalaman ngeri dikongsi seorang wanita mengenai nasib malang menimpa bayinya berusia satu bulan yang melecur tangan kanan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka bulan lalu akibat batuk berkahak sebelum kisah itu tular melalui aplikasi Telegram.

Tambahnya, kira-kira dua jam kemudian anaknya menangis kerana lapar sebelum jururawat membenarkannya memberikan susu badan kepada bayinya itu.

Namun dakwanya, anaknya itu masih tidak selesa dan terus menangis sehingga pukul 4 pagi walaupun tidak mengalami kembung perut atau kesukaran membuang air besar.

“Selepas itu, barulah saya tergerak untuk membuka bedung dan melihat keadaan tangan kanannya sudah bengkak sehingga ke paras bahu.

“Keadaan tangannya seperti kena bakar membuatkan saya terkilan kerana datang sebab (rawatan) lain tapi sampai hospital lain pula sakit yang dapat,” dakwanya lagi.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem ketika dihubungi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) sudah menyiapkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, kami sedang menunggu kelulusan daripada DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan) berhubung isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette