Persembahan ketika sambutan Maal Hjirah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Konsep persembahan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M memberi penekanan mengenai tafsir kejadian langit dan bumi.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, tafsir berkenaan membincangkan tentang perkara saintifik dan ilmiah di dalam metafora ayat-ayat al-Quran.

Jelasnya, ia menyelusuri perjalanan Tafsir Ilmi merupakan perjuangan memfokuskan seluruh pancaindera mengakui keagungan Allah berlandaskan al-Quran.

Konsep persembahan turut menunjukkan keindahan cakerawala yang dihiasi dengan galaksi dan sistem suria yang merupakan fenomena alam semesta yang menakjubkan.

Ia sekali gus membuktikan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah sebagai Maha Pencipta.

Katanya, eksplorasi yang dilakukan juga dapat mengacu akal pada batas pengetahuan, minat dan pengalaman sebagai inspirasi untuk menjelajahi kehidupan dan meningkatkan keimananan dalam diri.

Tindakan untuk mengkaji dan berfikir tentang penciptaan langit dan bumi dan proses-proses yang berkaitan tidak dapat dipisahkan daripada sains dengan menggunakan pendekatan yang saintifik sebagaimana yang telah dilakukan oleh saintis muslim sebelum ini.

“Al-Quran mendorong umat Islam untuk banyak mengkaji dan hal ini banyak berkait dengan penerokaan ilmu terutama dalam bidang sains tambahan pula kita berada di zaman revolusi 4.0 @ IR4.0, dengan ledakan automasi, digital dan fizikal siber kini menguasai manusia.

“Sains telah banyak memberikan sumbangan bermakna kepada peradaban manusia. Dan sudah tentu umat Islam merupakan peledak kepada ilmu sains moden yang berkembang hingga ke hari ini.

“Konsep persembahan turut membawa peringatan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, manusia adakalanya sering terlupa akan kekuasaan zat Allah sebagai penakluk semesta,” katanya dalam kenyataan.

Sains dan teknologi bukan musuh peradaban tetapi medium keharmonian jika disantuni dengan bijaksana.

Tambahnya, konsep persembahan juga memaparkan  kemajuan perlu berlandaskan al-Quran dan kemajuan yang tidak dilengkapi nilai agama akan menimbulkan kehancuran serta kemusnahan kepada alam.

“Pergerakan tari yang dipersembahkan pula adalah mengambil influens dari seni mempertahankan diri seperti silat, pergerakan kemudiannya dikreasikan mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan.

“Dalam menuju arus kemodenan, jati diri tetap tidak dilupakan sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan persembahan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kerana turut mengandungi watak robot daripada filem sains fiksyen Transformer.- MalaysiaGazette