KUALA LUMPUR – Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman memantau rapat perkembangan susulan insiden tembakan di sekitar sebuah masjid di wilayah Wadi Al Kabir, Oman pada awal hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MUSCAT, OMAN

Villa No.2443, Way 3030 Shatti Al Qurum
P.O. Box 51, Bareeq Alshati Muscat
No. Telefon: +(968) 2469 8329, +(968) 7159 2388
Emel: [email protected]

Sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Polis Oman pada Selasa melancarkan siasatan berhubung insiden tembakan di sebuah masjid di Muscat yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan beberapa yang lain. – MalaysiaGazette