JERTIH – Dua pengasuh di taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kampung Raja di sini yang disyaki terbabit kes penderaan dua beradik direman enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata tempoh reman hingga Khamis (12 Sept) ke atas kedua-dua suspek itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Fadhli Mahmud.
“Reman terhadap suspek berusia 26 dan 50 tahun itu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
“Buat masa ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima laporan daripada seorang wanita pada petang Khamis mengenai dua anaknya masing-masing lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berumur setahun didera di taska terbabit.
Abdul Rozak berkata ibu kanak-kanak berkenaan mengetahui kejadian itu selepas diberitahu dan ditunjukkan video oleh seseorang petang semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa kanak-kanak lelaki mempunyai satu kesan bengkak kecil di dahi manakala adik perempuannya terdapat satu kesan cubit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Siasatan awal mendapati taska berkenaan mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).- BERNAMA