Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyokong pengkhianatan politik melibatkan enam ahli Parlimen Bersatu menyebabkan rakyat semakin benci kepada ahli politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, ia kerana rakyat menolak pemimpin politik yang tidak mempunyai prinsip dan hanya mengejar kuasa.

“Saya ingin mengingatkan Lokman Adam, bahawa tindakan beliau yang cuba menghalalkan tindakan enam ahli Parlimen Bersatu ini adalah satu pengkhianatan besar kepada kepercayaan rakyat.

“Kenyataan Dr. Muhamad Akmal Saleh bahawa mana-mana individu yang menang atas tiket parti lain tetapi menyokong parti lawan selepas menang adalah satu tindakan lompat parti atau katak politik sepatutnya dipertahankan.

“Ia sangat bertepatan dengan prinsip keadilan dan integriti yang kita semua perjuangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Lokman mengingatkan Dr Akmal supaya tidak menjadi jurucakap kepada Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang mengekalkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu.

Antaranya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Fariz juga berkata, tuduhan Lokman terhadap Dr Akmal itu adalah tidak berasas dan menunjukkan tahap pemikiran yang sangat cetek.

“Lokman pernah menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai UMNO kini cuba bermain dengan politik murah dengan menutup kelemahan dan kegagalannya sendiri.

“Jika kita mengikut logik dangkal Lokman maka sesiapa sahaja boleh mengkhianati parti asal mereka dengan menyokong parti lawan tanpa sebarang akibat,” katanya.

Menurut Fariz, tindakan Lokman juga secara terang-terangan sebagai satu penghinaan kepada prinsip demokrasi dan integriti politik.

“Lokman Adam harus sedar bahawa rakyat Malaysia tidak bodoh.

“Rakyat tahu membezakan antara pemimpin yang berjuang untuk kepentingan rakyat dan pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Pemimpin seperti Lokman yang tidak mempunyai prinsip dan hanya mengejar kuasa adalah punca utama mengapa rakyat semakin benci kepada politikus,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar tidak membiarkan individu seperti Lokman merosakkan imej politik negara dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kepentingan mereka bukan pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Teruskan perjuangan Dr. Akmal, kerana rakyat Malaysia bersama anda dalam menentang pengkhianatan politik ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. rakyat juga benci kepada politik kotor yang tiada kesudahan, terutama pemimpin politik melayu.
    binalah negara dan kukuhkanlah kedudukan melayu dari segenap segi. sudah2lah berpolitik.
    rakyat jemu dan meluat.

Comments are closed.