Naquib (duduk tengah), Hanis (berdiri tiga dari kiri) Mazlan (duduk kiri sekali) selepas Mesyuarat Jawatankuasa PKR Cabang Sri Gading di Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sri Gading lumpuh apabila Setiausahanya, Mazlan Abdullah dan 37 ahlinya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sri Gading.

Setiausaha PKR cabang berkenaan, Muhamad Hanis@Hans Dr Azman Atar berkata, mereka memilih PKR cabang berkenaan sebagai wadah baharu perjuangan politik disebabkan sudah hilang kepercayaan terhadap Bersatu.

“Kita mengalu-alukan dan mengucapkan syabas kepada mantan Setiausaha Bersatu Bahagian Sri Gading, Mazlan Abdullah yang telah memilih PKR sebagai wadah perjuangan yang baru.

“Penyertaan ini sekali gus melumpuhkan Bersatu Cawangan Kampung Baru dengan membawa sekali penyertaan beramai-ramai anggota Bersatu bahagian terbabit ke dalam PKR,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa PKR cabang berkenaan malam tadi.

Beliau berkata, kemasukan Mazlan dan semua bekas ahli cawangan berkenaan sekali gus menyumbang kepada penubuhan Ranting PKR Kampung Baru.

Beliau berkata,menerusi mesyuarat jawankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua Cabang PKR Sri Gading, Naquib Roseli, Mazlan dilantik sebagai Naib Ketua Cabang berkenaan.

Menurut Hanis, dalam mesyuarat tersebut pihaknya merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani atas keberanian melaksanaan program subsidi bersasar.

Katanya, keputusan Anwar yang juga Presiden PKR itu sudah mula menunjukkan kesan dalam usaha membanteras ketirisan dan amalan penyeludupan diesel.

“Usaha kerajaan ini akan memberikan penjimatan kepada kantung kerajaan sebanyak RM4 billion yang boleh disalurkan untuk program yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette