Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap pada sidang media berkenaan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2015 di Menara Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri membuktikan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan adalah palsu, dakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional menambah, ia dipamerkan menerusi tindakan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan tidak mengundang DAP pada PRK itu.

“Semua orang nampak kan? Itulah dia. Tak perlu komen orang sudah nampak, palsu semuanya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 di Menara Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas senario ketika ini apabila DAP tidak menerima undangan daripada BN untuk membantu berkempen di PRK Nenggiri.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai PRK DUN Mahkota, Muhammad Sanusi memberitahu, PN belum mengadakan perbincangan berhubung calon di kawasan itu.

Beliau berkata, PN tidak perlu terburu-buru dalam isu calon dan masih menghormati pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota yang baru meninggal dunia.

“Belum bincang PRN DUN Mahkota tunggu writ dari SPR dulu. Kita hormati kekosongan yang berlaku atas kematian. Tidak perlu tergopoh-gapah,” katanya. – MalaysiaGazette