Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BUTTERWORTH – Perdana Menteri menempelak sikap pembangkang yang kononnya membela rakyat di kawasan kampung namun mempertahankan subsidi untuk golongan T15 di Parlimen.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia susulan kenyataan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menuduh dasar cukai dan subsidi Kerajaan Madani sebagai tidak adil.

Anwar menjelaskan, usaha penyasaran subsidi untuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang lebih memerlukan terutama peniaga kecil, petani, nelayan dan golongan B40.

“Ahli-ahli politik pembangkang sepatutnya membela 85 peratus rakyat yang masih menikmati subsidi tapi tidak dia berucap di Parlimen pertahankan golongan maha kaya tapi bila masuk kampung hujah kami pembela Melayu.

“Bagi mereka yang di rumahnya ada sampai tujuh kipas dan enam penghawa dingin bayarlah sikit yang bukan bayar cukai tambahan tapi bayar ikut kadar pasaran,

“Subsidi yang sepatutnya bersifat ‘sedekah’ wajar diberikan kepada golongan susah dan bukan untuk mereka yang memiliki pendapatan tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena di sini hari ini.

Mengulas mengenai pengkelasan golongan T15, Anwar berkata, perkara itu masih peringkat kajian untuk menentukan individu yang tergolong dalam kategori tersebut.

“Pendapatan bulanan RM13,000 sebulan yang ditetapkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu dilihat rendah dan kerajaan masih lagi mengkaji mengenai perkara itu sebelum pengkelasan golongan berkenaan diperkenalkan.

“Kita sedang kaji kerana kita takut bila diklasifikasikam golongan T15 mungkin gaji (dia) RM13,000 (sebulan) tetapi ada lima orang anak dan dua di universiti yang bila kita tarik subsidi (dia) maka akan menyusahkan keluarganya,” katanya.

Semalam, Anwar menafikan beliau adalah ‘Robin Hood’ apabila didakwa cuba ‘mencuri’ daripada golongan kaya kerana memperkenalkan rasionalisasi subsidi kepada kumpulan T15 dalam Belanjawan 2025.

Bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Perdana Menteri menegaskan, dasar dilaksanakan bertujuan memastikan kecekapan pengagihan subsidi dan bertindak adil membantu golongan berpendapatan rendah.

“Kita tidak mahu mencukaikan orang ramai. Jadi kita kenakan cukai yang sedikit dan kita tarik subsidi daripada orang kaya. Itu dilihat falsafah ekonomi ‘Robin Hood’ iaitu ambil daripada yang kaya dan bagi kepada orang miskin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast