Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Khazanah Nasional di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk mengangkat semula pretasi syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) dengan apa cara sekali pun yang munasabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, usaha untuk menyelamatkan MAS yang kini menjadi pertikaian banyak pihak sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan setiap minggu.

Tegas beliau, usaha memulihan pretasi MAS itu sudah dimulakan oleh kerajaan bersama Khazanah Nasional Berhad dan pihak pengurusan MAS, namun ia mengambil masa.

Menjelaskan kemelut yang melanda MAS, Anwar menambah, kerajaan hari ini terpaksa menanggung beban daripada keputusan politik terdahulu yang tidak telus.

Jelasnya, keputusan itu termasuk memberikan peluang kepada beberapa beberapa kroni untuk menjahanamkan syarikat yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara.

“Jangan padamkan kenyaatan sejarah itu…(ia adalah) keputusan yang dibuat kerana niat, tindakan mempertahanakan kepentingan beberapa kroni dan meminggirkan kepentingan negara.

“Tapi percayalah, dari segi segi kerajaan, saya nak beritahu Khazanah dan MAS, kita kekal komited untuk pastikan kejayaan MAS sebab itu syarikat kebangsaan yang perlu dikembalikan semua prestasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd. di MITEC, di sini hari ini.

Isu membabitkan pretasi MAS kini menjadi pertikaian banyak pihak selepas syarikat penerbangan negara tersebut melaporkan beberapa insiden teknikal membabiktan pesawat termasuk pembatalan penerbangan dan penerbangan yang terpaksa berpatah semula.

Terbaharu, insiden penerbangan MAS berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan berlaku lagi malam kelmarin, melibatkan pesawat ke Seoul, Korea Selatan yang dipercayai mengalami masalah teknikal.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada perkara tersebut.

Tambah Anthony, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB iaitu MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir. – MalaysiaGazette