Ihsan Foto : Hospital Lahad Datu

LAHAD DATU – Seorang Ketua Unit Patologi Kimia, Dr. Tay Tien Yaa yang bertugas di sebuah hospital, di sini, ditemui mati dipercayai membunuh diri di unit sewaannya pada 29 Ogos, lepas.

Berita itu mendapat perhatian luas selepas seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai adik mendiang memuat naik satu hantaran yang menyayat hati.

Dalam hantaran itu, adik mendiang melaporkan kakaknya baru sahaja melaporkan diri sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu, Februari lalu.

“Beliau dijanjikan untuk dipindahkan semula ke Semenanjung selepas dua tahun perkhidmatannya supaya dapat duduk bersama suami yang baru sahaja dikahwini pada September 2023.

“Walaubagaimanapun, kakak telah menghadapi tekanan berat dan bebanan kerja yang luar dari bidang kerjanya di hospital,” dakwanya.

Adik mendiang mendakwa bahawa kakaknya telah menjadi mangsa buli ketua jabatan yang disifatkan sebagai ‘zalim’ kerana telah menyalahgunakan kuasa untuk menindas pekerja bawahan.

“Tanggungjawab yang dipikul untuk menguruskan unit patologi baru yang ditubuhkan seakan tidak mencukupi apabila beliau juga harus memeriksa instrumen, hadir ke mesyuarat, menyiapkan laporan serta menguruskan sumber manusia dan kewangan jabatan.

“Paling menyayat hati, kakak baru sahaja menerima sumbangan komputer daripada Persatuan Perdagangan Cina Lahad Datu untuk kegunaan hospital seperti yang dilaporkan media tempatan pada 3 September lepas,” tambahnya.

Adik mendiang turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat mengesan tanda-tanda awal yang kakaknya sedang bergelut dengan tekanan perasaan.

Menurutnya, fenomena buli dalam kalangan doktor muda bukan suatu benda yang remeh dan beliau menggesa agar isu ini diberi perhatian sewajarnya agar kejadian tersebut tidak akan mengorbankan nyawa pengamal perubatan yang lain.

“Kehilangan Dr. Tay bukan sahaja satu tragedi bagi kami, tetapi ini juga satu refleksi terhadap cabaran besar yang dihadapi oleh doktor muda di Malaysia.

“Semoga tragedi ini memberi kesedaran untuk pihak berkepentingan lebih peka terhadap kesihatan mental para petugas kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. kerajaan malaysia dan kementerian kesihatan tidak cakna terhadap doktor2 .Gaji yg tidak sepadan dgn tugas tugas yg berat. ini kerana menteri2nya tidak mmpunyai latar belakang kedoktoran atau sibuk berpolitik.

  2. Tak lama lg lebih ramai doktor keluar dari hospital kerajaan. Gaji dah lah rendah tak ada pencen pula..maka beban Dr.yg masih bertahan akan terus bertambah kerana nisbah doktor dan pesakit yg kian besar

Comments are closed.