Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mendapatkan kerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi mengekalkan atau menambah rangkaian penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu susulan pengurangan penerbangan untuk sementara waktu yang dilakukan Malaysia Aviation Group (MAG) bermula September hingga Disember 2024.

“Seperti saya telah terangkan, ini adalah satu langkah drastik yang diambil oleh pihak MAG dan ia hanya berlaku sementara bagi memastikan pesawat-pesawat terlibat dihantar untuk penyelenggaraan dan sebagainya.

“Bukan mereka suka-suka mengambil langkah ini (tetapi) oleh sebab banyak isu teknikal yang melanda, mereka terpaksa mengurangkan penerbangan beberapa bulan ini bagi memastikan pesawat-pesawat lebih bersedia untuk menghadapi operasi selepas ini.

“Kita menjangkakan ada pesawat baharu akan tiba dalam satu hingga dua bulan nanti. Jadi dalam tempoh itu sudah tentu ada pelbagai pilihan penerbangan lain seperti Air Asia dan Batik Airlines untuk ke Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merasmikan hotel transit ‘Capsule Transit MAX’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan  hotel transit Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Terdahulu, MAG memutuskan untuk mengurangkan kekerapan penerbangannya buat sementara waktu susulan gangguan penerbangan pada minggu 19 Ogos 2024 yang membabitkan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, tindakan itu bagi melaksanakan langkah sewajarnya yang diperlukan untuk menangani insiden berkenaan.

Sementara itu, Aerorouters melaporkan, penerbangan domestik kini menyaksikan penurunan sebanyak 29.5 peratus dengan pengurangan kapasiti sebanyak 29.8 peratus.

Ia jelas menyaksikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching menurun daripada 443 penerbangan kepada 283 manakala Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu daripada 562 kepada 321 – MalaysGazette