Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 6 November ni bagi mendengar permohonan Tan Sri Tommy Thomas yang memohon supaya Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman dihadapi oleh bekas Peguam Negara itu.

Ketika ini bekas Ahli Parlimen Johor Bahru , Tan Sri Shahrir Ab Samad sedang menyaman Tommy dan tiga pihak lain berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima olehnya daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Tommy sebelum ini telah memohon supaya Roz Mawar menarik diri kerana mendakwa hakim itu banyak membuat keputusan dan dapatan tidak berasas serta bercanggah dalam kes itu.

Hari ini ketika prosiding dalam talian, difahamkan peguam Shahrir, Syahrul Syazwan Salehin memaklumkan Roz Mawar akan mendengar secara fizikal permohonan Tommy pada November depan.

“Kes itu akan didengar 6 November depan jam 8.30 pagi,” katanya kepada media hari ini.

Sebelum ini, Roz Mawar telah menolak permohonan Tommy membatalkan saman itu pada Julai tahun ini.

Perbicaraan penuh akan bermula selama tujuh hari antara 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Mahkamah Tinggi sebelum ini yang pernah membicarakan Shahrir telah melepas dan membebaskan ahli politik veteran itu daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Shahrir kemudian menyaman Tommy atas dakwaan telah menyalahgunakan kuasanya dengan mendakwanya sebelum ini. -MalaysiaGazette