Tangkap layar menunjukkan upacara keagamaan di sebuah tokong berlatar belakangkan selawat tular di aplikasi TikTok.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan upacara keagamaan di sebuah tokong di negeri ini yang berlatarbelakangkan bunyi selawat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya mengesan video tular di aplikasi TikTok milik ‘Ahchong60’ itu kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan biarkan pihak polis menjalankan siasatan berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Hamzah, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh mengundang kegusaran dan ketenteraman awam.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 20 saat memaparkan upacara keagamaan di sebuah tokong dengan berlatarbelakangkan selawat.

Bagaimanapun, video tersebut telah diturunkan daripada aplikasi TikTok. – MalaysiaGazette