KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,199 tan metrik pada Julai 2024, meningkat 21.1 peratus berbanding Jun 2024 (39,803 tan metrik).

China masih kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 30.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2024 diikuti Emiriah Arab Bersatu (12.3%), India (11.6%), Jerman (10.6%) dan Amerika Syarikat (6.7%).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.4 billion pada Julai 2024, meningkat 11.2 peratus berbanding
Jun 2024 (RM1.2 billion).

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 16.5 peratus (Julai 2024: 647.23 sen sekilogram; Jun 2024: 775.19 sen sekilogram) manakala sekerap menurun sebanyak 5.2 peratus (Julai 2024: 670.80 sen sekilogram; Jun 2024: 707.51 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 4.6 peratus hingga 16.4 peratus. The World Bank
Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 menurun 5.9 peratus (daripada AS$ 1.75/kg kepada AS$1.65/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 8.9 peratus (daripada AS$2.26/kg kepada USD2.06/kg).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli meningkat 27.0 peratus pada Julai 2024 (37,960 tan metrik) berbanding pada Jun 2024 (29,881 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 33.0 peratus (Julai 2023: 28,533 tan metrik).

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.5%) berbanding sektor estet (12.5%).

Manakala jumlah stok getah asli pada Julai 2024 menurun 7.6 peratus kepada 148,096 tan metrik berbanding 160,352 tan metrik pada Jun 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.1%) dan estet getah (0.2%). – MalaysiaGazette