Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden tidak lebih daripada cubaan untuk membina persepsi kerajaan mengekang hak kebebasan bersuara.

Sebaliknya menurut Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Munim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menyuarakan kritikan secara terbuka kepada mana-mana pemimpin kerajaan.

“Saya mohon (Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden) untuk nyatakan mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini.

“Bahkan presiden parti saudara sendiri tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, tidak pernah lagi ditutup mulutnya. Kafir, tidak beroleh hidayah, dajal, ejen zionis?

“Kenyataan saudara tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara,” katanya menerusi aplikasi X.

Afnan ketika berucap di Muktamar Pas menyelar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba menutup mulut para pembangkang.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada kerajaan supaya mengendahkan suara pengkritiknya atau berdepan risiko dijatuhkan melalui protes jalanan.

Sementara itu, Kamil juga menempelak Afnan sambil memberi peringatan kepadanya bahawa kebebasan bersuara tidak sama dengan kebebasan menghina, mencerca dan memfitnah.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here