Bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengembalikan zaman kegemilangannya dengan barisan kepimpinan yang matang, bijak dan berintegriti tanpa mengetepikan perlembagaanya.

Bekas presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kepimpinannya tidak boleh mengikari tuntutan pertubuhan itu yang mensyaratkan agar pemilihan majlis tertingginya diadakan setiap tiga tahun sekali.

“Kita perlu mematuhi perlembagaan organisasi serta menghormati arahan pihak berkuasa seperti Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) yang mana asas ini tidak boleh dikompromi.

“Kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi buruk kepada kelangsungan organisasi ini.

“Saya memahami pelbagai cabaran dan tekanan mungkin dirasai oleh pimpinan GPMS ketika ini, namun ini bukan alasan untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, ROY menerusi suratnya bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos 2024 mengesyorkan GPMS mengadakan pemilihan Majlis Tertinggi sebelum 16 September 2024.

Sebelum ini, tular di Facebook menyatakan Ahli Majlis Tertinggi GPMS memutuskan tiada pemilihan seperti yang diarahkan pihak ROY sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Dalam pada itu, Jais menasihati kepimpinan GPMS Kebangsaan agar mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan tidak mengorbankan masa depan pertubuhan anak muda itu hanya kerana ketidakpatuhan kepada perlembagaan.

“Kepimpinan matang adalah kepimpinan yang sentiasa bersedia menerima pandangan dan cadangan serta menghormati undang-undang dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

“Saya menyeru agar semua pimpinan GPMS Kebangsaan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, seoran lagi bekas Presiden, Alif Anas Md Noor berkata, pemilihan Majlis Tertinggi merupakan salah satu kuasa yang ditetapkan dalam Persidangan Agung.

“Sekiranya Majlis Tertinggi GPMS telah membuat keputusan untuk menangguhkan proses pemilihan, keputusan tersebut perlu terlebih dahulu dibawa ke Persidangan Agung Khas (PAK) supaya ianya diluluskan,” katanya.

Katanya selepas diluluskan PAK, baharulah GPMS boleh memohon penangguhan kepada pihak ROY dan terpulang untuk meluluskannya ataupun tidak.

“Majlis Tertinggi tidak mempunyai kuasa mutlak menangguhkan pemilihan GPMS dan berharap kepimpinan GPMS Kebangsaan tidak mengambil risiko melanggar ketetapan ROY.

“Pelanggaran peraturan ini dikhuatiri menyebabkan pendaftaran GPMS digantung atau dibatalkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here