Logo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pelantikan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu haruslah berdasarkan merit dan kelayakan bagi memilih seorang yang akan menggalas tanggungjawab besar untuk memimpin seluruh warga universiti.

Menurut Kesatuan Pelajar UIAM (IIUMSU), mahasiswa UIAM mahukan seorang rektor yang dapat mengangkat misi universiti, selain bebas daripada campur tangan politik dan sebarang percubaan melobi daripada pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab dalam proses pemilihan tersebut bagi menggambarkan akauntabiliti dan tatakelola yang baik.

“Rektor baharu UIAM mestilah individu yang boleh menjiwai nilai dan semangat universiti ini, mampu memahami dan menjunjung visi UIAM) untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan Pendidikan antarabangsa terkemuka yang berusaha memulihkan peranan dinamik dan progresif.

“Individu itu juga mestilah merealisasikan visi tersebut dengan mengusahakan tujuh misi universiti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Antaranya, melaksanakan tugas yang khusus dan yang diperlukan untuk memperbaharui mentaliti Muslim kontemporari dan mengintegrasikan ilmu pengetahuan Islam dan sains manusia secara positif; melahirkan intelek, profesional dan cendekiawan dengan menyepadukan kualiti keimanan, keilmuan, dan budi pekerti yang baik untuk menjadi agen kemajuan yang menyeluruh dan mengimbangi serta pembangunan mampan di Malaysia dan di dunia Islam; mempromosikan konsep pengislaman ilmu manusia dalam pengajaran, penyelidikan, perundingan, penyebaran ilmu dan pembangunan kecemerlangan akademik di university dan memupuk kualiti kecemerlangan holistik yang disemai dengan nilai moral-kerohanian Islam, dalam proses pembelajaran, pengajaran, penyelidikan, perundingan, penerbitan, pentadbiran dan kehidupan mahasiswa;

Selain itu, mejadi contoh komuniti antarabangsa yang terdiri daripada cendekiawan, profesional, pegawai, dan pekerja yang berdedikasi dan termotivasi oleh pandangan dunia Islam dan kod etika sebagai sebahagian daripada budaya kerja mereka; meingkatkan pemahaman antara budaya dan memupuk dialog peradaban di Malaysia serta merentasi masyarakat dan negara dan mmbangunkan persekitaran yang menyemai komitmen untuk pembelajaran sepanjang hayat dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam dalam kalangan kakitangan dan mahasiswa.

“Amat penting untuk kita mengutamakan seorang sosok yang mampu menggalas tanggungjawab untuk menjaga institusi pendidikan yang mulia ini secara holistik. Kesatuan Pelajar UIAM berharap rektor akan datang bukan sahaja menangani isu-isu mendesak yang dinyatakan dalam laporan audit baru-baru ini namun juga menerajui reformasi menyeluruh universiti untuk meningkatkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan terulung.

“Kepimpinan yang teguh, berani dan juga berprinsip sangat diperlukan bagi seorang rektor untuk mengatasi segala isu yang membimbangkan dari pelbagai aspek seperti keadaan fasiliti yang rosak dan prasarana yang usang, kualiti pengurusan dan perkhidmatan di universiti, dan juga prestasi universiti harus dipertingkatkan di pentas global,” katanya sambil menyatakan kekosongan yang berpanjangan dalam peranan penting ini sejak 31 Julai lalu amat membimbangkan.

Rektor itu juga diharapkan dapat menjadi penyokong tegar bagi gagasan kesatuan mahasiswa, yang telah dihidupkan kembali melalui penubuhan Kesatuan Pelajar UIAM pada tahun 2019, juga memiliki nilai meritokrasi dan tatakelola yang baik.

“Sebagai mahasiswa, kami secara langsung terjejas oleh jurang kepimpinan ini, dan kami percaya bahawa tindakan segera adalah perlu untuk memastikan masa depan universiti.

“Justeru, IIUMSU menyeru semua pihak termasuklah mahasiswa, staf akademik, staf sokongan, alumni UIAM dan semua pihak berautoriti untuk bersatu hati membina semula universiti yang dahulunya megah di mata dunia dan berlandaskan prinsip dan matlamat pendidikan demi kebaikan semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette