Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar beramah mesra bersama peniaga ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Pasar Malam Bukit Ayam, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Masalah harga barang naik dan kos sara hidup tinggi antara rintihan yang diluahkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semasa calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar turun berkempen.

Mohamad Haizan mendakwa, golongan peniaga dan pengundi yang ditemui mahukan masalah tersebut diatasi segera kerana sudah tidak tahan menanggung bebanan itu.

“Rata-rata mereka mahukan perubahan, ada yang kata tidak tahan lagi dengan kerajaan sedia ada, tolong tukar kerajaan yang ada ada.

“Peniaga makanan kata kos barang mahal, nak meniaga untung RM200 sehari dan nak balik modal pun susah, kalau jual mahal nanti takut orang marah.

“Pengundi pula kata tak boleh tahan dengan kos sara hidup tinggi, nak makan pun susah,” katanya ditemui pemberita di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu di sini hari ini.

Ditanya berkenaan sambutan selepas dua hari berkempen, Mohamad Haizan mengakui lega dan gembira dengan penerimaan penduduk Mahkota yang amat positif.

Menurut beliau, pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis Perbandaran Kluang selama dua tahun sehingga 2022 dan Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Zon Kluang sehingga ini banyak membantu.

Pengalaman itu katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kluang, banyak membantu semasa berkempen dan berdamping dengan rakyat.- MalaysiaGazette