Isris ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Kerajaan perlu berlaku adil dengan tidak menyekat Perikatan Nasional (PN) berkempen melalui media sosial dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, mereka tidak sewajarnya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk berbuat demikian sebaliknya bersaing secara sihat.

“Harapan saya jangan pula nak sekat atau tarik balik (kandungan yang sudah disiarkan). Biar gentleman dan adil. Jawab hujah dengan hujah, jangan gunakan kuasa yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Idris berkata, jentera PN perlu meningkatkan kempen menerusi media sosial terutama dalam usaha mendekati pengundi muda.

Katanya, lebih separuh daripada 66,318 pengundi dalam PRK DUN Mahkota adalah orang muda.

“Sudah tentulah kehidupan mereka (selalu menggunakan) dengan internet. Sebab itu saya harapkan kempen kita juga dilakukan melalui media sosial berbanding cara konvensional,” katanya.

Apatah lagi katanya, akses untuk internet di daerah ini tidak mempunyai masalah kerana berada di kawasan bandar berbanding PRK Pelangai sebelum ini.

Ditanya kenyataan Pemuda UMNO Bahagian Jeli mendakwa ada syarikat milik kerajaan negeri telah diserahkan kepada syarikat milik bukan bumiputera yang beroperasi luar negeri itu, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada kerajaan Pas Kelantan untuk menjawabnya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here