Shamsul Iskandar menyampaikan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Seramai 202 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di negeri ini menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sumbangan itu membabitkan RM500 daripada Perdana Menteri manakala RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita beri sumbangan kepada keluarga yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir minggu lalu.

“Pemberian ini juga menunjukkan Perdana Menteri dan kerajaan sangat prihatin dan terkesan dengan mereka yang diuji dengan musibah banjir ini.

Seramai 202 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

“Mudah-mudahan dengan peruntukan ini dapat membantu meringankan beban mereka untuk memperbaiki apa yang rosak selepas banjir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Dewan Besar Sungai Dua di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shamsul Iskandar menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada KIR terbabit.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim.

Untuk rekod, sebanyak 11 PPS dibuka di tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara membabitkan 760 mangsa daripada 202 keluarga bermula 17 hingga 19 September lalu.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM13 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu mangsa banjir di Kedah.

Kerajaan menyalurkan sumbangan RM1,000 menerusi NADMA dan RM1,000 lagi melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kedah.

Anwar turut dilaporkan menyampaikan sumbangan peribadi menerusi ICU Perlis kepada 46 keluarga yang ditempatkan di empat PPS di negeri itu di samping bantuan melalu NADMA. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here