Onn Hafiz (tengah) ditemuramah media dalam di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Semua kaunter imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi pada Sabtu ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dua pintu masuk utama tersebut akan dibuka secara maksimum bermula Jumaat ini.

“Saya sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pastikan kaunter di BSI, Johor Bahru dan KSAB di Iskandar Puteri supaya pengundi dapat pulang dengan lancar.

“Ia penting bagi memudahkan pengundi DUN Mahkota pulang menjalankan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini,” katanya dalam temuramah di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini, semalam

Menteri Besar Johor itu merayu kepada pengundi pulang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi menjalankan tanggungjawab mengundi.

Jelasnya, kepulangan mereka penting kerana setiap undi penting untuk menyuburkan demokrasi.

“Dalam masa yang sama banyak telah dibuat kerajaan negeri dibantu kerajaan Pusat untuk memudahkan anak-anak Johor yang bekerja di Singapura.

“Saya minta supaya Sabtu ini, turunlah ke DUN Mahkota, pulanglah sebentar untuk menunjukkan solidariti kita terhadap usaha yang telah dibuat selama ini,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dengan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast