Foto: FB Anwar Ibrahim

KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyaksikan penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam pengurusan pelabuhan strategik itu.

Penyerahan itu menjadi lebih bermakna susulan Sarawak selaku tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan hari ini.

Dalam majlis penyerahan yang diadakan di Bilik Orang Kenamaan, Lapangan Antarabangsa Kuching, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mewakili Kerajaan Persekutuan dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, penyerahan itu melibatkan empat dokumen utama iaitu Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026 dan Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026.

Turut diserahkan ialah dokumen berkaitan penetapan tarikh kuat kuasa Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] serta Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].

“Dengan berkuat kuasanya Akta 858 dan Akta 859 pada 1 Sept lepas, Pelabuhan Bintulu secara rasmi bertukar status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak,” kata kenyataan itu.

Peralihan itu turut menyaksikan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dibubarkan, manakala peranan pihak berkuasa pelabuhan diambil alih oleh Bintulu Port Authority (Sarawak), sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan, 1961.

Menurut kenyataan itu, bermula 1 Sept 2026, semua harta, hak, kepentingan dan obligasi LPB dipindahkan serta diletak hak kepada Kerajaan Sarawak.

Proses pengambilalihan Pelabuhan Bintulu mengambil masa kira-kira tiga tahun, bermula dengan hasrat pengambilalihan diumumkan Abang Johari pada 30 Jan 2023 sebelum cadangan tersebut diluluskan Kabinet Sarawak pada Februari tahun sama.

Persetujuan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu turut diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Okt 2023.

Kedua-dua kerajaan kemudian memeterai Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024 sebelum proses perundangan dimuktamadkan menerusi kelulusan Akta 858 dan Akta 859 di Dewan Rakyat pada Julai 2024.

Pada 4 Februari lepas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencapai persetujuan mengenai nilai pengambilalihan LPB berjumlah RM1.8 bilion.

Perjanjian penyempurnaan (Completion Agreement) kemudiannya dimeterai pada 21 Jun 2026, disusuli majlis penyerahan cek daripada Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan di Bintulu. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here