Murad Jailani

PASIR GUDANG – Usaha kerajaan yang akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk meneliti langkah mitigasi segera berkaitan kenaikan bil elektrik diharap dapat mencari penyelesaian segera.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, ini kerana isu tersebut meresahkan masyarakat kerana semakin membebankan mereka.

“Saya berpandangan bahawa kebimbangan ini perlu dijawab dengan penjelasan yang jelas, telus dan mudah difahami rakyat, khususnya bagi kes-kes di mana penggunaan tidak banyak berubah tetapi bil meningkat secara luar biasa.

“Saya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Madani akan mengadakan mesyuarat khas esok. Harapan saya, keresahan rakyat ini tidak hanya dibincangkan, tetapi dapat diselesaikan dengan segera.

“Rakyat mahu bil elektrik yang adil, bacaan meter tepat dan mekanisme semakan mudah jika berlaku kenaikan bil yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama-sama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).

Mesyuarat berkenaan akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Mengulas lanjut, Murad berkata, pihaknya mahu rakyat faham apa yang mereka bayar dan pada masa sama memastikan tiada keluarga terbeban akibat kenaikan bil elektrik yang tidak mereka fahami.

“Saya mengambil maklum keresahan orang ramai berhubung peningkatan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Dalam media sosial, semakin ramai pengguna mempersoalkan keadaan apabila penggunaan elektrik dirasakan masih seperti biasa, namun jumlah bil yang diterima meningkat dengan ketara,” katanya.

Perkara itu ujar beliau, tentunya menimbulkan kebimbangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat masih berdepan dengan tekanan kos sara hidup.

“Di Pasir Gudang juga, saya menerima maklum balas daripada penduduk yang risau apabila kerja-kerja penggantian meter elektrik sedang dijalankan di beberapa kawasan.

“Ada yang tertanya-tanya sama ada selepas pertukaran meter nanti, bil mereka akan menjadi lebih tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here