KUALA LUMPUR – Harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 35 sen seliter bagi tempoh 17 September hingga 23 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, RON97 ditetapkan pada RM4.85 seliter berbanding RM4.50 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi yang sebelum ini berharga RM4.02 naik kepada RM4.37.
Sementara itu, katanya, harga diesel tanpa subsidi turut meningkat menjadi RM5.27 berbanding RM4.92 sebelum ini.
MOF berkata, kenaikan harga bahan api pasaran global itu didorong oleh ketegangan di Asia Barat yang semakin memuncak selepas memasuki tempoh 200 hari konflik.
“Iran menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat terhadap lima kapal tangki Iran, manakala serangan turut merebak ke Yaman dan infrastruktur tenaga Arab Saudi. T
“Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot ke paras satu angka susulan peningkatan serangan tersebut.
“Keadaan bertambah buruk apabila serangan dron menyebabkan operasi saluran paip East–West Arab Saudi, antara laluan utama yang memintas Selat Hormuz, dihentikan sementara. Rundingan antara Iran dengan negara-negara Teluk mengenai keselamatan laluan perkapalan turut ditangguhkan,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan perkembangan itu mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Pada masa sama, ujarnya, gangguan kapasiti penapisan di Rusia dan kekangan bekalan minyak mentah terus mengehadkan pengeluaran produk petroleum bertapis, sekali gus mendorong margin penapisan kekal tinggi dan memberikan tekanan kepada harga petroleum global.
“Peningkatan ketegangan di Asia Barat dan konflik Rusia–Ukraine berisiko menyebabkan ketidaktentuan harga petroleum berlarutan dalam tempoh mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak. – MalaysiaGazette
















