KUALA LUMPUR – Perubahan pendirian Kerajaan Negeri Sembilan berhubung Surat Cara Proklamasi yang membawa kepada penurunan takhta Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir menimbulkan persoalan mengenai apa yang berlaku sehingga dokumen berkenaan kini disahkan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed berkata, persoalan itu timbul susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini mengesahkan proklamasi berkenaan sah serta mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Zainol, perkara itu perlu dilihat berdasarkan kronologi pendirian kerajaan negeri sendiri dan bukan sekadar dari sudut politik.
“Pada 9 September, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menyatakan beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi itu tanpa rela hati dan secara paksaan, selain timbul pendirian bahawa dokumen berkenaan tidak memenuhi proses serta tatacara di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Pada 15 September pula, Menteri Besar menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Hari ini pula kerajaan negeri mengesahkan proklamasi itu sah dan sempurna. Jadi persoalannya, apa yang berubah?” soalnya.
Zainol menegaskan beliau tidak mahu membuat kesimpulan mengenai kesahan proklamasi berkenaan kerana perkara itu membabitkan persoalan perlembagaan dan undang-undang.
“Kalau ada perkembangan baharu yang menyebabkan pendirian kerajaan negeri berubah, rakyat berhak tahu apakah perkembangan itu.
“Adakah terdapat fakta baharu, tafsiran baharu atau proses tertentu yang sudah dilengkapkan sehingga proklamasi yang sebelum ini dipersoalkan kini dianggap sempurna?” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan tandatangan Menteri Besar yang kini dinyatakan sebagai melengkapkan proklamasi di bawah Perkara 10(2), sedangkan Ismail sebelum ini mendakwa tandatangannya diperoleh dalam keadaan paksaan.
“Persoalan mengenai tandatangan Menteri Besar juga perlu dijelaskan. Kalau beliau mendakwa wujud paksaan dan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis, bagaimana isu tersebut diambil kira dalam menentukan kedudukan dokumen berkenaan?
“Adakah persoalan itu sudah diselesaikan atau kerajaan negeri mengambil pendirian bahawa ia tidak menjejaskan kesahan proklamasi,” tegasnya.
Menurutnya, terdapat juga pendirian berbeza mengenai keadaan ketika dokumen itu ditandatangani, justeru perkara tersebut perlu dijelaskan melalui saluran yang sewajarnya.
“Kalau ada dakwaan paksaan dan ada pula pihak yang menafikannya, siapa yang menentukan perkara itu? Apakah kesannya terhadap dokumen tersebut?
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan sendiri. Tetapi persoalan itu juga tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zainol mempersoalkan peranan MMKN dalam perkembangan terbaharu tersebut.
“Kerajaan negeri menyatakan prerogatif memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar adalah prerogatif Undang Yang Empat.
“Kalau begitu, apakah sebenarnya peranan MMKN dalam mengesahkan proklamasi hari ini? Adakah MMKN menentukan kesahan proklamasi atau melaksanakan ketetapan yang telah dibuat oleh Undang Yang Empat?
“Perkara ini perlu dijelaskan supaya rakyat memahami bidang kuasa setiap institusi,” ujarnya.
Beliau berkata, persoalan tersebut bukan bertujuan mempertikaikan institusi Raja, sebaliknya mahu memastikan setiap tindakan yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar dibuat berdasarkan proses yang diperuntukkan.
“Institusi Raja mesti dihormati. Pada masa sama, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan juga mesti dihormati. Jadi persoalan saya mudah, apakah peruntukan digunakan, siapa mempunyai kuasa pada setiap peringkat dan apakah proses telah dilalui?” soalnya.
Zainol turut meminta semua pihak berhati-hati dalam menggunakan istilah ‘derhaka’ dalam polemik berkaitan isu berkenaan.
“Saya tidak menuduh sesiapa derhaka. Tetapi kalau istilah itu digunakan terhadap mana-mana pihak yang dikatakan mencabar kedudukan Yang di-Pertuan Besar, apakah ukuran yang sama digunakan kepada semua pihak?
“Siapa yang mempunyai bidang kuasa menentukan sesuatu tindakan itu sebagai derhaka dan apakah asas undang-undang atau adat yang digunakan?” katanya.
Menurut Zainol, prinsip yang sama perlu digunakan tanpa mengira parti politik atau kedudukan mana-mana pihak.
“Ketika pilihan raya sebelum ini, DAP dan PH dipersalahkan apabila isu institusi Raja dibangkitkan. Sekarang apabila persoalan mengenai proses, kuasa dan perlembagaan timbul dalam kerajaan negeri yang dipimpin UMNO, adakah ukuran yang sama tidak sepatutnya digunakan?
“Kalau kita mahu semua pihak menghormati institusi Raja, prinsip itu mesti terpakai kepada semua pihak,” tegasnya.
Zainol berkata, pengiktirafan Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu tidak seharusnya menyebabkan persoalan mengenai proses sebelum ini diketepikan.
“Keputusan sudah dibuat dan Yamtuan baharu sudah diiktiraf. Tetapi persoalan mengenai proses dan undang-undang masih boleh dijelaskan.
“Kalau kerajaan negeri yakin proses itu sah dan sempurna, jelaskan asasnya kepada rakyat.
“Bukan untuk mempertikaikan institusi Raja, tetapi supaya ada kepastian mengenai proses yang telah berlaku,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















