KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya menggunakan seterika pada Isnin lepas.

Mohd Nurhakiman Mohd Nasir, 35, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Rambutan Rendang, di sini pada 7.30 pagi, 23 September lepas.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh masih suami isteri dan tinggal bersama dalam satu rumah.

Hakim Zulkifli Abllah menetapkan 29 Oktober ini ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – Bernama