Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran mahu Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan hasil pasukan petugas yang ditubuhkan pada 2022 untuk meneliti budaya kerja dalam sektor penjagaan kesihatan.

Persoalan itu timbul susulan kes dakwaan bunuh diri seorang pakar perubatan yang berkhidmat di Sabah baru-baru ini.

Soal Lingeshwaran, sama ada KKM ada ambil sebarang tindakan terhadap 11 cadangan yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) dalam laporan yang telah disiarkan kepada umum pada Ogos 2022.

Untuk makluman, HWCITF ditubuhkan pada 2022 susulan kematian seorang pegawai perubatan pelatih di Hospital Pulau Pinang pada 17 April 2022.

“Saya hendak tahu apa jadi dengan cadangan-cadangan HWCITF? Adakah KKM terima baik dan ikut cadangan-cadangan itu yang saya anggap sangat berkesan dan membantu itu? Ingat ya, kita tubuhkan jawatankuasa khas seperti itu untuk tujuan tertentu.

“Tugas dan tanggungjawab jawatankuasa adalah membantu KKM dan itulah yang sepatutnya berlaku. Jika tidak ini hanya sekadar jawatankuasa hiasan atau fancy setiap kali berlakunya sebarang insiden tidak diingini seperti bunuh diri itu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan KKM telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bebas untuk menyiasat kematian Dr. Tay Tien Yaa di Lahad Datu, Sabah yang didakwa membunuh diri.

Tay meninggal dunia pada 29 Ogos lalu dan selepas itu kakaknya mendakwa kes buli mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kematiannya.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menggesa KKM dan jabatan kesihatan negeri untuk mempercepatkan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Lingeshwaran berkata, pasukan petugas yang ditubuhkan itu perlu melibatkan atau memberi peranan sebagai pemerhati kepada wakil daripada MMA atau Seksyen Pegawai Perubatan Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar (Schomos).

“Kita menubuhkan pasukan petugas atas satu sebab. Tugasnya mesti untuk memaksa masalah buli keluar dari sistem. Jika tidak, menubuhkan pasukan petugas setiap kali seseorang membunuh diri dalam sektor penjagaan kesihatan akan menjadi klise,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here