Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan peruntukan subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih peringkat penelitian berkaitan dengan beberapa perkara prinsip yang perlu diambil kira.

Katanya, kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik.

“Kita belum putuskan, ia masih peringkat penelitian, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya. Kalau pada isu (penyasaran) subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.

“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia adalah bersandarkan kepada tahap penggunaan tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara lain,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan kaya atau digelar mahakaya.

Perdana Menteri menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini supaya pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kemudian menjelaskan, kerajaan masih kekal dengan pendirian dalam memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan walaupun wujud cadangan untuk menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak-anak golongan kaya.

Katanya, dasar kepada akses pendidikan juga tidak  berubah dan akan terus memberi keutamaan kepada semua golongan bermula dari pendidikan peringkat rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here