Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
SYAWAL 1445 H menyaksikan umat Islam menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang suram disahut kesedihan mengenangkan nasib saudara seiman di Gaza, Palestin.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas memperlihatkan tanda-tanda kegagalan apabila rejim Zionis tersebut terus menerus melancarkan serangan dan membunuh insan yang tidak berdosa di bulan Ramadan yang mulia.
Ternyata golongan rosak daripada kelompok Yahudi ini sememangnya puak yang mudah
memungkiri janji sebagaimana firman Allah SWT: Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa. Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi”.
Pengkhianatan rejim Zionis dalam perkara ini telah pun dijangka. Kegagalan misi Nentanyahu untuk membebaskan tawanan warganegara haram Israel sekali gus
menghapuskan Hamas tidak berjaya sama sekali. Sebaliknya, konflik itu telah memanaskan lagi kondisi politik di rantau tersebut dengan penglibatan Hezbollah,
Iran dan Yaman dalam konflik yang telah berlanjutan lebih dari setahun. Kini, telah berlalu dua Ramadan umat Islam di Gaza berada dalam kesengsaraan yang tidak
tergambarkan. Kejahatan Zionis tidak dapat lagi dilindungi di mata dunia melainkan bagi mereka yang dibutakan hati, telinga dan mata melihat kekejaman bangsa
tersebut.
Slogan kemanusiaan yang sering dilaungkan oleh negara-negara Barat semakin dibakul sampahkan oleh tindakan segelintir mereka yang senyap dan masih mengiyakan kezaliman yang nyata ini. Sekalipun perbincangan dan pertemuan demi pertemuan telah dilakukan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dilakukan, tiada apa tindakan drastik yang dilakukan untuk membantu rakyat di Gaza. Kelihatannya perwakilan dan pimpinan di peringkat antarabangsa hanya memiliki kemampuan yang sama seperti kanak-kanak sekolah yang turun melaungkan slogan menyokong Palestin dan membencikan kezaliman rejim Zionis.
Pemimpin negara Islam terus membisu
Tidak dinafikan umat Islam di seluruh dunia sama ada individu, persatuan ataupun organisasi telah memainkan peranan mereka dengan memberikan bantuan dalam
bentuk sumbangan, perhimpunan solidariti, doa dan qunut nazilah serta lainnya. Namun, apakan daya usaha-usaha tersebut belum cukup untuk membantu mereka yang tertindas dengan kerjasama negara-negara besar di Barat seperti Amerika dan sekutunya.
Respons daripada pimpinan negara Arab juga telah dijangkakan, sekalipun terdapat usaha-usaha positif yang dimainkan oleh beberapa negara seperti Qatar dan Mesir yang giat menjalankan usaha dalam menjayakan gencatan senjata. Namun begitu, ia belum cukup untuk mewakili kekuatan 57 negara umat Islam yang berdaftar sebagai ahli dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Selain itu, hubungan diplomatik dan perdagangan antara negara-negara Islam dan rejim Israel juga masih berlanjutan seperti biasa.
Sebagai contoh, Azerbaijan dan Gabon adalah antara pengeksport terbesar minyak mentah ke Israel dan kedua negara tersebut berdaftar di bawah OIC. Menurut
Middle East Eye, eksport negara-negara Arab yang berjiran dengan Israel seperti Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu juga menunjukkan peningkatan sekalipun
konflik di Palestin sedang memuncak. Ternyata, langkah-langkah BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) yang digerakkan oleh organisasi atau mana-mana
pertubuhan hanyalah satu sandiwara untuk memujuk rakyat agar tidak bangkit sedangkan hubungan diplomatik masih berlansung antara negara-negara tersebut.
Adakah kepentingan politik dan ekonomi lebib diutamakan berbanding nyawa insan yang tidak berdosa serta kehormatan bumi Syam yang telah lama dijajah? Jelas Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hancurnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada pembunuhan seorang lelaki Muslim” (Riwayat al-Bukhari). Langkah Seterusnya menurut laporan pemerhati antarabangsa, bantuan kemanusiaan telah terhenti sejak 2 Mac 2025 yang lepas, ketika umat Islam seluruh dunia sedang mula berpuasa.
Hal ini menambah lagi kesengsaraan saudara kita di Gaza serta krisis kemanusiaan yang tidak pernah disaksikan di mana-mana sebelum ini. Di kala ini, konflik
bersenjata antara Rusia dan Ukraine masih berlansung, namun tidak pun dilaporkan krisis kemanusiaa seperti dihalang mendapatkan rawatan, pembunuhan kanak-
kanak dan wanita dan kehancuran 80 peratus bandar Gaza hasil nafsu rakus rejim yang terlaknat ini.
Umat Islam seluruh dunia tidak wajar hanya melihat dan memerhati sahaja. Sekalipun demonstrasi satu dunia dilakukan, ia belum pasti menghalang peluru dan
bom untuk membunuh mereka yang tidak berdosa di sana. Adakah wajar agama yang memiliki prinsip jihad yang merupakan satu perkara mulia dan tertinggi sebagaimana sabdaan Nabi Muhammad SAW: “…Jihad adalah perkara yang tertinggi (dan mulia dalam Islam).” (Riwayat al-Tarmizi) Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan) (Surah al-Hajj:39).
Sekalipun wujud negara-negara Islam yang menganggap jihad ini adalah perkara yang begitu jauh memandangkan kekuatan ketenteraan yang disangkakan tidak sepadan, sekurang-kurangnya tidak tergerakkah iman mereka bagi memelihara darah yang yang dizalimi. Terkini jumlah kematian melebihi 50 ribu nyawa tidak berdosa, adakah ingin ditunggu sehingga jumlah tersebut mencapai satu juta dan umat Islam akan mula tersedar dari tidur dan kelekaan mereka?
Perundangan dunia lemah terhada Israel
Setakat ini, badan-badan berautoriti di peringkat dunia belum mampu untuk menyekat kejahatan Israel yang sering dilindungi oleh kuasa veto Amerika. Walaupun terdapat beberapa perubahan dalam pemerintah presiden baharu Amerika, Donald Trumph, ia belum cukup membantu mengendurkan konflik berdarah ini.
Diharapkan negara-negara Islam yang memimpin lebih 1.9 billion umat Islam atau 24 peratus penduduk dunia ini mampu berbuat sesuatu yang lebih dari mengutuk,
berbincang atau turun di jalanan bersama rakyat. Sekurang-kurangnya misi pengaman sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini di Congo, Namibia, Somalia, Bosnia Herzegovina untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk serta melindungi khemah-khemah sementara penduduk.
Sehingga kini, belum kedengaran dengan jelas inisiatif ini sekalipun semua pihak telah menyuarakan pandangan kewajipan gencatan senjata sejak setahun yang lepas. Semoga Allah SWT memberikan keberanian berlandaskan iman dan taqwa kepada pemimpin Islam untuk bertindak lebih tegas sekalipun harganya mungkin mahal, tetapi itulah adat pengorbanan dan perjuangan umat Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan diwarisi oleh pemimpin-pemimpin hebat di kalangan umat Islam sehingga kini.
Penulis adalah Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya