Oleh: Khairul Naim Rafidi
DI zaman yang penuh dengan kebisingan tetapi kurang kecenderungan untuk berfikir secara mendalam, simbol seringkali dihukum lebih pantas berbanding makna yang sepatutnya difahami.
Baru-baru ini, sekumpulan mahasiswa Asasi Undang-Undang dari Pusat Asasi UiTM Dengkil telah menjalankan pembentangan akademik. Mereka telah menggunakan jubah dan simbol menyerupai kumpulan ekstremis Ku Klux Klan (KKK). Gambar mereka kemudiannya telah tular. Seperti biasa, netizen yang tidak tahu-menahu tentang konteks dan isi pembentangan telah serta-merta menjadi hakim dan algojo.
Saya tidak menafikan bahawa setiap tindakan bebas daripada kritikan. Tetapi saya menolak budaya menghukum tanpa memahami. Sebagai peguam serta alumnus universiti ini, saya menulis bukan untuk menyembunyikan kesilapan, jika ada. Tetapi untuk memperbetul cara kita menilai bahawa apa yang berlaku ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan seruan kebencian.
Pendidikan bukan konsumer hiburan
Apabila universiti atau institusi yang sepatutnya menjadi medan pergelutan akal dipaksa tunduk kepada logik tular dan emosi massa, maka hilanglah maruah menara gading sebagai tapak untuk melahirkan pemikir dan pemimpin masa depan. UiTM dalam insiden ini bukan menjadi pentas kepada fahaman perkauman, tetapi medan kecil untuk mahasiswa menyentuh sisi gelap sejarah manusia dengan berani dan kritikal.
Apa yang ramai tidak tahu, video itu sebenarnya dirakam dalam sesi pembentangan tugasan akademik rasmi di bawah subjek Contemporary Global and Legal Issues, iaitu sebahagian daripada penilaian berterusan kursus berkenaan.
Mahasiswa telah memilih untuk membincangkan diskriminasi perkauman oleh kumpulan KKK di Amerika, satu contoh klasik pelanggaran hak asasi manusia dan memutuskan untuk menyampaikan mesej itu melalui unsur visual dan dramatik. Kostum tersebut pula dihasilkan sendiri menggunakan bahan ringkas seperti kertas mahjung dan pakaian putih, semata-mata sebagai alat bantu pembelajaran.
Malangnya, dalam budaya digital yang cetek, tidak ramai sanggup membaca lebih dari tajuk atau bertanya lebih lanjut sebelum membina pandangan. Sekeping gambar sudah cukup membunuh watak. Persepsi menjadi undang-undang dan emosi menjadi hukuman. Inilah tragedi sebenar zaman kita, terlalu cepat menilai tetapi terlalu malas memahami.
Antara simbol dan substans
KKK ialah lambang kebencian. Tidak ada manusia yang waras akan mempertikaikan hal tersebut. Tetapi kita juga mesti waras dalam menilai konteks apabila simbol itu sebenarnya telah digunakan bukan untuk diagungkan. Ia juga didedahkan bukan untuk disanjung. Ia bertujuan untuk difahami sebagai contoh ekstrem ideologi kebencian yang pernah menghantui dunia.
Menurut maklumat yang telah saya terima, mahasiswa telah mengambil inisiatif sendiri untuk mempersembahkan pembentangan tersebut dengan cara yang lebih berimpak termasuk menggunakan pakaian dan berarak di sekitar kampus. Malangnya, langkah itu dibuat tanpa perbincangan lanjut atau panduan daripada pensyarah, walaupun niat asal mereka adalah menyampaikan mesej kesedaran, pendekatan tersebut sedikit tersasar daripada ruang lingkup asal tugasan yang telah ditetapkan.
Hakikatnya, terdapat dua naratif yang berlaga dalam isu ini. Satu datang daripada kumpulan mahasiswa itu sendiri, yang secara jujurnya mengakui niat asal mereka adalah untuk mengkritik perkauman secara dramatik, tetapi gagal menjelaskan bentuk penyampaian mereka lebih awal kepada pihak pengajar.
Naratif kedua pula datang daripada mahasiswa lain dan netizen yang melihat visual semata-mata lalu telah menafsirkan ia sebagai bentuk penghinaan dan bukan kritikan terhadap KKK itu sendiri. Ketiadaan penjelasan serta-merta dan kegagalan menjangka kesan imej tersebut di ruang awam menjadi pencetus utama salah faham. Selain itu, penting untuk ditegaskan bahawa tiada unsur penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti dalam pembentangan itu.
Namun begitu, kritikan yang datang dari luar termasuk dari sesetengah kumpulan mahasiswa dan gerakan agama juga harus didengar dan difahami dengan teliti. Terdapat kegusaran yang jujur dan berasas tentang pemakaian simbol salib dan kostum yang menyerupai organisasi pelampau. Mereka bimbang akan unsur tasyabbuh, kekeliruan akidah dan kekacauan dalam pemahaman awam terhadap garis batas antara penjelasan dan pemujaan.
Kita tidak boleh menyapu kebimbangan ini ke bawah karpet. Tetapi kita juga tidak boleh membiarkan kebimbangan itu menghapuskan ruang akademik untuk mahasiswa mengupas sisi gelap sejarah dunia. Di sinilah kita perlu hikmah iaitu berusaha untuk membimbing dan bukan menghukum.
Bebas bukan liar — tapi tanpa bebas, kita jadi liar
Ironinya, ramai yang kononnya memperjuangkan kesopanan dan kesusilaan, dalam masa yang sama menjerit dan menuntut hukuman terhadap mahasiswa seolah-olah mereka sedang menyeru keganasan. Kita hidup dalam dunia yang boleh menerima video lucah dengan bisu, tetapi menjadi histeria apabila mahasiswa cuba memahami sejarah kebencian secara visual.
Saya ingin tegaskan, jika kita tidak mempertahankan kebebasan akademik hari ini, esok tiada siapa lagi akan berani berfikir. Semua akan tunduk, semua akan memilih jalan selamat dan semua akan membentangkan kandungan yang cantik tetapi cetek. Justeru, akan lahirlah generasi yang sopan di luar, kosong di dalam. Adakah itu yang kita mahu hasilkan dari universiti?
Maruah universiti, maruah pemikiran
Saya menulis bukan semata-mata untuk mempertahan satu kumpulan mahasiswa. Saya menulis untuk mempertahankan maruah pendidikan dan akademik itu sendiri. UiTM bukan institusi suci yang tidak boleh disentuh atau dikritik. Tetapi ia juga bukan tempat yang wajar dijadikan kambing hitam sentimen awam.
Sebagai peguam, saya percaya setiap mahasiswa dan anak muda berhak belajar, termasuk melalui kesilapan. Tetapi hak untuk belajar itu tidak sepatutnya dicuri oleh gelombang hukuman populis.
Kita semua harus memilih, adakah kita mahu universiti menjadi medan intelektual atau medan persepsi? Adakah kita ingin melatih mahasiswa menjadi berani atau hanya menjadi pak turut yang akan senantiasa memilih jalan selamat?
Percayalah, seandainya kita terus tunduk kepada histeria, maka yang tinggal hanya bangunan akademik tanpa roh dan ia lebih menakutkan dari mana-mana jubah putih.
Penulis adalah Peguam dan Alumnus Fakulti Undang-Undang UiTM