MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagaimanapun berkata, tarikh mesyuarat khas itu masih belum ditentukan.
“Satu mesyuarat khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-16 akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Ramlan berkata, SPR telah menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada 23 September 2026 daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum hari ini.
“SPR secara rasminya telah menerima pemakluman daripada Datuk Ibrahim Durum, Speaker DUN Melaka melalui surat bertarikh 22 September 2026 berhubung dengan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September 2026,” katanya.
Menurut beliau, pemakluman itu sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini mengumumkan DUN Melaka akan dibubarkan secara rasmi esok, sekali gus memberi laluan kepada PRN Melaka Ke-16.
Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. – MalaysiaGazzette
















