KUALA LUMPUR: Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengecam usaha pihak tertentu yang cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka di Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama, mereka turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, kerana kedua-duanya tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.
“Tindakan yang tidak berperlembagaan sebegitu jika diteruskan merupakan satu perlanggaran sumpah Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam di samping pecah amanah terhadap Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, mereka turut menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan Kerajaan Negeri terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh dan memutarbelitkan mandat rakyat.
Katanya, ia sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap Kerajaan Negeri dan Institusi Adat serta Pemerintahan Negeri Sembilan.
Tambahnya, tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta barisan Exco adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu.
“Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Kami selaku YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 di samping memelihara kedudukan Kami sebagai Raja Pemerintah Negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959,” katanya.
Dalam masa sama, mereka turut menyeru semua penjawat awam negeri agar tidak melayani sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Katanya, mereka hendaklah akur kepada ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta menumpahkan sepenuh taat setia kepada Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
“Kami menyeru agar rakyat Negeri Sembilan kekal tenang dan tidak terpengaruh oleh sebarang provokasi dan sebaran maklumat tidak sahih dalam proses peralihan kuasa yang sedang berjalan kini,” katanya. – MalaysiaGazette
















